RENGGAM: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar daripada lori yang dinaikinya sebelum jatuh dari jambatan dalam satu kemalangan di Kilometer 68.3 (Arah Selatan) laluan Machap ke Simpang Renggam, di sini, pada awal pagi tadi.

Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan Dua Shoromi Salih, berkata mangsa dikenalpasti sebagai Muhammad Saifudin Md Lazan, 35, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Jelas beliau, insiden berpunca susulan rempuhan dengan sebuah treler muatan simen, yang turut membabitkan tiga buah kenderaan.

Menurut beliau, seramai sembilan orang anggota bomba diatur gerak bagi operasi menyelamat sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 2.10 pagi.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto JBPM

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan 3 buah kenderaan iaitu lori Scania treler, lori 5 tan jenis Isuzu dan sebuah kereta jenis Honda Civic.

"Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori 5 tan jenis Isuzu telah tercampak keluar ke bawah jambatan. Manakala mangsa yang lain dalam keadaan selamat.

"PKO bertindak membawa mangsa naik ke atas dengan menggunakan stretcher board dan dipercayai mangsa telah meninggal dunia sebelum PKO tiba di lokasi," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Tambahnya, sebuah jentera FRT turut digerakkan bagi membantu usaha menyelamat, manakala mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada jam 3.28 pagi, sejurus keadaan sekitar dipastikan selamat oleh petugas bomba di tempat kejadian.